5 JUN: Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan 3,514 kompaun kepada individu dan syarikat kerana melanggar SOP sepanjang pelaksnaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 hingga 4 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata individu dan syarikat berkenaan dikompaun hasil 85,000 pemeriksaan harian dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Imigresen (JIM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA), Jabatan Penjara serta agensi penguatkuasaan lain.
Beliau berkata hampir 35,000 daripada 85,000 premis diperiksa pihak berkuasa adalah terdiri daripada pasar raya, restoran, kilang dan beberapa tempat dibenarkan beroperasi di seluruh negara sempena pelaksanaan PKP penuh sekarang ini.
“Dari 1 hingga 4 Jun lalu, sebanyak 3,514 kompaun dikeluarkan, 163 tangkapan dibuat oleh PDRM, mananakala 117 perbadanan (premis perniagaan, syarikat atau kilang) kerana kesalahan melanggar SOP.
“Tindakan KDN mengarahkan agensi di bawahnya memperketatkan pemeriksaan ini penting bagi memastikan semua pihak mematuhi semua SOP diumumkan kerajaan berikutan pelaksanaan PKP penuh mulai 1 Jun lalu,” katanya dalam sidang media disiarkan secara langsung menerusi laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah mengesahkan pergerakan lalu lintas di lebuh raya utama negara mengalami penurunan amat ketara sepanjang tempoh pelaksanaan PKP penuh mulai 1 Jun lalu.
Katanya, kadar aliran kenderaan di jalan raya dan lebuh raya utama di seluruh negara menurun kepada sekitar 500,000 kenderaan sehari berbanding sebelumnya pelaksanaan PKP penuh pada 1 Jun lalu iaitu kira-kira 1.3 juta kenderaan.
Beliau berkata PDRM juga sudah menutup 118 jalan kecil dikenal pasti menjadi laluan altenatif orang awam bagi memastikan tidak ramai individu dapat melanggar larangan rentas negeri dan daerah dikuatkuasakan kerajaan.
“Berdasarkan rekod PDRM hanya sekitar kira-kira 12,000 permohonan harian diterima untuk merentas daerah dan negeri diluluskan terutama untuk kes kematian, kecemasan dan bekerja sendiri.
“KDN menerusi JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan besar-besaran terhadap pendatang tanpa izin (PATI) di kawasan tertentu bagi menyekat penularan COVID-19 dalam komuniti di negara ini,” katanya.
Kesimpulannya, Hamzah menegaskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ diumumkan kerajaan, sebelum ini bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 di Malaysia sekarang.