5 JUN: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan kebimbangan wujud peningkatan ancaman dan provokasi daripada anasir luar yang cuba menguji sistem pertahanan keselamatan dan kedaulatan negara sejak akhir-akhir ini.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris, berkata keadaan sedemikian telah meresahkan ketenteraman awam dalam kalangan rakyat di negara ini. Justeru, kaukus yakin dengan ketegasan Kerajaan Malaysia dalam soal yang melibatkan hal-hal keselamatan dan kedaulatan negara.
Razali berkata antara contoh isu soal keselamatan dan kedaulatan negara yang disifatkan berprofil tinggi yang berlaku termasuklah insiden 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara kawalan negara dan isu pesawat milik Israel merentasi ruang udara Malaysia dua minggu lalu.
Beliau berkata tidak ketinggalan isu operasi Polis Sabah melumpuhkan kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) selepas menembak mati lima lelaki di Beaufort, pada pertengahan Mei 2021 lalu.
“Dalam soal kebersamaan, rakyat sentiasa menaruh keyakinan tinggi terhadap pasukan keselamatan negara yang menjaga sempadan negara tidak kira di perbatasan darat, maritim dan udara.
“Sehubungan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara memberi amaran keras kepada pihak tertentu supaya jangan sesekali mencabar had kedaulatan negara walaupun ancaman itu datang dari negara kuasa besar. Sila hormati Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, aman, selamat dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.