5 JUN: Seorang jurujual peralatan komputer ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu ciapan menerusi akaun Twitter berkaitan pembelian vaksin oleh kerajaan, tengah malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan dan Perundangan) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 12.05 tengah malam.
Katanya, penahanan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman hasil laporan ‘profiling’ yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Kita turut merampas satu telefon bimbit, sebuah router dan modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Azman berkata, ciapan di akaun Twitter abah@chairmanGLC itu adalah mengenai peruntukan RM70 juta bagi membeli vaksin dan dimuat naik pada 29 Mei lalu.
Katanya, ciapan itu mendapat 4,707 ciapan semula, 115 ciapan semula bersama komen dan 3,783 tanda suka.
“Susulan tangkapan itu, suspek direman satu hari, hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021,” katanya.
Seksyen itu memperuntukkan kesalahan mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam atau mana-mana golongan awam, mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, PDRM juga menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mengganggu keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian,” katanya.