6 JUN: Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk terus mengelola lembaga itu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkuat kuasa 15 April 2021 selepas perkhidmatan Datuk Ahmad Nazlan Idris ditamatkan pada 14 April 2021.
Khairuddin berkata perubahan di MPOB berkenaan dibuat selepas Ahmad Nazlan menolak jawatan pelantikan sebagai Pengerusi MPOB menggantikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang meletak jawatan.
Justeru, Khairuddin berkata, calon baharu bagi jawatan itu akan ditentukan semula oleh beliau.
“Sebagai tokoh korporat, antara mandat utama yang diamanahkan oleh menteri kepada Raja Datuk Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit membabitkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lalu dan pelan strategik baharu LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.
“Selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, beliau berharap pelantikannya bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan kepada semua pengurusan tertinggi KPPK serta agensi di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.