5 JUN: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, menitahkan rakyat agar berhenti menuding jari kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa, berikutan peningkatan kes dan jumlah kematian akibat COVID-19, sehingga menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.
Sebaliknya, baginda mencadangkan mereka ‘turun padang’ menghulurkan bantuan kepada hospital, petugas barisan hadapan atau masyarakat ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk bagi meringankan beban ditanggung golongan itu.
Titah baginda, sikap hanya mencari kesalahan tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU), atau mengurangkan tekanan dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat satu bilik atau individu kehilangan pendapatan dan buntu mencari nafkah untuk keluarga.
“Walaupun rakyat berhak mengkritik dan mempersoalkan tindak tanduk keputusan diambil kerajaan, kita juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan sendiri.
“Jangan lupa ada antara kita perlu bertanggungjawab atas keadaan sekarang ini,” titah baginda menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook The Royal Johor, semalam.
Baginda bertitah, bukan semua rakyat adalah pakar perakaunan, ekonomi atau perubatan bertauliah yang kemahirannya diperlukan dalam pengurusan pandemik, malah tiada siapa pun di dunia mempunyai pengalaman mengendalikan pandemik pada skala dihadapi sekarang.
“Pihak hospital merupakan entiti paling terkesan. Lihatlah kontena terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat serta cabaran lain dilihat sepanjang tahun lalu. Apa salahnya kita tunjukkan walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit dari ambang kematian?
“Keluarga saya akan meneruskan bantuan dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan atau bergaji kecil yang kadangkala bersamaan dengan nilai sekali makan di restoran Jepun mewah.
“Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang, tetapi kami tetap cuba berbuat yang terbaik,” titah baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah, pandemik itu juga mewujudkan jurang antara golongan hidup senang dan kurang bernasib baik, selain menampakkan perbezaan antara mereka yang sanggup dan sudi membantu secara sukarela dengan golongan selesa di belakang papan kekunci untuk mencari kesalahan tidak berkesudahan.
“Ketakutan bersama tekanan dan kemarahan membangkitkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, termasuk menuding jari menyalahkan pelbagai pihak daripada orang awam dan pengusaha restoran, sehinggalah pegawai kerajaan, malah institusi kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan itu sendiri.
“Kita mesti sedar bahawa semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Pokok pangkalnya, pepatah lama ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ tetap terpakai, dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini,” titah baginda.