7 JUN: Usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mewujudkan Pasar Segar Terkawal (PST) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kini, memberi ruang kepada usahawan memasarkan hasil barangan mereka, sekali gus mengelakkan lambakan produk.
Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kewujudan PST juga memberi akses pilihan kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan penawaran penjimatan harga antara lima sehingga 20 peratus.
“MAFI melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan, selain membantu usahawan serta pembeli menjual, malah mendapatkan sumber, termasuk mewujudkan 42 PST ini di seluruh negara.
“PST diwujudkan di lokasi terpilih yang dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini, menawarkan barangan keperluan kepada pengguna, khususnya penduduk setempat ketika tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial.
“Menerusi PST ini juga, isu lambakan bekalan makanan dapat diuruskan dengan teratur,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Sebelumnya, Ronald meninjau operasi PST Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di MyFarm Outlet Putrajaya dan Pusat Operasi FAMA Dengkil, Sepang Selangor.
Katanya, sepanjang beroperasi sejak 25 Mei sehingga 4 Jun lalu, nilai jualan PST di semua lokasi itu secara keseluruhannya adalah sebanyak RM18.90 juta, membabitkan 348 petani dan 6,879 usahawan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN