7 JUN : Junta tentera Myanmar digesa membebaskan semua tahanan politik sebelum memulakan rundingan bagi menamatkan krisis menyusuli rampasan 1 Februari lalu, demikian pendirian wakil ASEAN berhubung rundingan tersebut.
Menurut perwakilan ASEAN, mereka berpegang teguh kepada lima teras perjanjian yang dimuktamadkan 10 negara anggota termasuk Myanmar pada April lalu, tentang kesepakatan negara serantau menamatkan kemelut di negara tersebut.
Perwakilan ASEAN turut menggesa supaya semua tahanan politik termasuk wanita, kanak-kanak dan warga asing, segera dibebaskan.
Meskipun gesaan sedemikian tidak menjadi sebahagian daripada kesepakatan yang dipersetujui ASEAN, kebanyakan negara anggota menyatakan persetujuan terhadap perkara terbabit.
Junta tentera Myanmar sehingga kini gagal mengawal pergolakan di negara itu sejak rampasan kuasa tercetus 1 Februari lalu, menyaksikan penahanan beberapa pemimpin utama, termasuk Aung San Suu Kyi dan lebih 4,500 individu lain.
Berdasarkan maklumat semasa oleh kumpulan hak asasi, sekurang-kurangnya 849 terbunuh, namun perangkaan itu dinafikan pihak tentera Myanmar.
Krisis di Myanmar juga dijangka menjadi antara topik utama dibicarakan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, minggu ini.
Duta China turut menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan kesepakatan itu.
Junta Myanmar setakat ini menzahirkan komitmen terhadap perjanjian itu, antara lain kesediaan menamatkan keganasan yang terus memuncak di Myanmar selain mewujudkan dialog politik dan melantik duta khas serantau.