7 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta membuat lantikan baharu bagi jawatan Naib Canselor di lima universiti awam (UA) yang kosong sejak awal tahun ini, bagi terus memacu hala tuju universiti ke arah kecemerlangan.
UA itu adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata kekosongan terlalu lama bagi jawatan nombor satu itu boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti.
“Walaupun Timbalan Naib Canselor yang memangku tugas Naib Canselor ketika ini adalah individu berpengalaman, pastinya terdapat beberapa kekangan yang menghalang beliau daripada menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan sepenuhnya.
“Hal kebajikan kakitangan, terutama kumpulan sokongan juga tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana ketiadaan Naib Canselor yang sentiasa menjadi rujukan permasalahan kakitangan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Abdul Rahman berkata, kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit, turut boleh menjejaskan operasi pentadbiran, selain hala tuju universiti bagi melaksanakan visi dan misi masing-masing.
Katanya, kelompangan pada barisan pengurusan kanan juga boleh menyebabkan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi itu tidak dapat diterokai sepenuhnya, terutama ketika negara sedang berhadapan COVID-19.
Beliau berkata, justeru, CUEPACS melihat keperluan untuk melantik segera Naib Canselor yang baharu bagi membolehkan pentadbiran universiti berjalan seperti biasa dan berharap Menteri Pengajian Tinggi dapat mempertimbangkan perkara ini
“Dalam situasi pandemik ketika ini, sewajarnya semua jabatan dan agensi kerajaan dimantapkan agar boleh menjadi pemangkin kepada permasalahan yang melanda,” katanya.