7 JUN: Kerajaan tidak bercadang merombak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan akan berjalan seperti yang dijadualkan meskipun terdapat kelewatan serta rungutan daripada pelbagai pihak.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata program itu tidak dirombak dan ketika ini fasa kedua membabitkan golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) sedang berlangsung.
“Keutamaan kita hari ini adalah warga emas, OKU dan individu dengan komorbiditi dan kita akan kekal dengan pelan ini.
“Kita mahu memberikan vaksinasi kepada penjaga golongan ini juga tetapi keutamaan adalah kepada mereka dahulu dan kita ikut perancangan yang sudah ditetapkan,” katanya kepada media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC, yang mula beroperasi, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai rungutan penjaga warga emas yang hanya hadir menemani ibu bapa dan ahli keluarga mereka sahaja namun mereka sendiri masih belum mendapat suntikan vaksin.
Dalam pada itu, Khairy berkata, penjaga OKU yang diberikan suntikan vaksin sekali adalah disebabkan beberapa faktor termasuk tumpuan penjagaan yang lebih kepada golongan berkenaan.
“Ada beberapa peranan khas yang dimainkan penjaga ini membuat kita merasakan mereka patut diberi vaksin sekali dengan individu OKU,” katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Twitternya mengesahkan sehingga kini lebih 3.5 juta penduduk di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas sudah menerima dos vaksin masing-masing sehingga semalam.
Berdasarkan maklumat dikongsikan JKJAV, daripada keseluruhan 3,574,376 jumlah itu, 2,444,075 sudah menerima dos vaksin pertama manakala baki 1,130,301 selesai dos kedua.
Pada Ahad sahaja, sehingga jam 11.59 malam, seramai 81,183 sudah selesai pemberian vaksin membabitkan 79,620 (dos kedua) dan 1,563 (dos ketiga).
Bagi keseluruhan kira-kira 3.5 juta penerima vaksin itu, 498,697 daripadanya adalah dari Selangor; Kuala Lumpur (508,358); Perlis (57,325); Kedah (235,093); Pulau Pinang (186,403), Perak (306,058); Putrajaya (39,178).
Manakala, Negeri Sembilan (145,043), Melaka (98,567); Kelantan (178,008); Terengganu (139,779); Pahang (204,628); Johor (324,746); Sabah (270,264); Labuan (28,463) dan Sarawak (353,766).