7 JUN: Kementerian Pendidikan (KKM) diminta menilai semula pelaksanaan beberapa program yang dianggap beban, sekali gus mengganggu tumpuan guru ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata program itu adalah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT.
Program lain, katanya, Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pelaksanaan Dialog Prestasi, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) serta Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).
“KPM perlu menilai semula pelaksanaan program terbabit kerana akan menambah beban dan mengganggu tumpuan guru ketika melaksanakan PdPR,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, menerusi sidang media khas berhubung pengoperasian sekolah semalam, berkata kaedah PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun.
Persekolahan pada 13 Jun membabitkan negeri dalam kumpulan A, iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala pada 14 Jun, pelaksanaannya membabitkan negeri dalam kumpulan B, iaitu Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Ketetapan itu bukan saja membabitkan sekolah kerajaan, malah sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat berdaftar dengan KPM.
Radzi turut mengumumkan, calon SPM 2021 akan menduduki peperiksaan itu pada tahun depan.
Ujian lisan dan amali Sains pula akan dilaksanakan pada Februari 2022, manakala peperiksaan bertulis bermula Mac 2022.
Harry Tan berkata, pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dan guru dilihat masih belum mendapat pendidikan sempurna sejak COVID-19, berikutan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka kerap tergendala.
“Apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah tentu murid akan ketinggalan kerana tidak dapat akses kepada guru,” katanya.
“NUTP mengalu-alukan pelaksanaan program sudah disusun atur itu, namun ketika ini kami berpandangan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan terlebih dahulu.
“Fokus utama pendidikan ketika negara masih bertungkus lumus membendung penularan COVID-19 adalah dengan memperkukuhkan pelaksanaan PdPR menerusi perancangan lebih berstruktur dan tersusun,” katanya.
Mengulas lanjut, Harry Tan berkata, justeru, NUTP meminta program lain ditangguhkan buat sementara waktu dengan memberi ruang kepada guru memberi tumpuan penuh bagi menambah baik PdPR.
Kejayaan pelaksanaan PdPR, jelasnya, penting supaya tiada murid tercicir atau ketinggalan dalam pendidikan, terutama yang berada di kawasan pedalaman dan kurang berkemampuan.
“Penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid perlu dijadikan perkara paling utama dalam pendidikan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata KPM wajar mempertimbangkan suntikan vaksin COVID-19 kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bagi membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.
Katanya, guru yang mengajar kelas Tingkatan 5 juga wajib divaksin secepat mungkin bagi membolehkan mereka hadir ke sekolah dan membantu calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.
Pemberian vaksinasi, juga katanya, membolehkan pelajar dan guru hadir semula ke sekolah semula, terutama bagi sesi pembelajaran membabitkan fizikal seperti di makmal sains serta teknologi.
Mohd Azizee berkata, i-Guru turut mencadangkan KPM mewujudkan Tabung Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi kegunaan guru dan pelajar membeli peralatan teknologi, alat peranti serta data internet.
Sumbangan dana itu, katanya, boleh disumbangkan guru melalui potongan gaji minima RM10 sebulan, bertujuan mengelakkan ada murid tercicir pendidikan, selain sebagai inisiatif tambahan sebagai membantu usaha kerajaan mengagihkan 150,000 peranti kepada murid dalam kalangan keluarga B40.
“Pihak i-Guru turut mencadangkan pelatihan intensif dan berterusan kepada warga guru berkaitan cybergogy, peeragogy serta heutagogy untuk berdepan pendidikan milinium dan cabaran IR 4.0.
“Diharap langkah proaktif dan kreatif pihak KPM akan membantu warga guru serta murid-murid demi kelangsungan masa depan pendidikan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN