7 JUN: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melahirkan rasa lega kerana buat pertama kalinya sejak awal April lalu, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia kembali di bawah 1.00 iaitu 0.99, semalam.
Dr Noor Hisham berkata kali terakhir Rt berada di bawah 1.00 pada 7 April iaitu 0.98, manakala Rt tertinggi yang pernah direkodkan tahun ini ialah 1.21 pada 23 Mei lalu.
Melalui perkongsiannya di Twitter, Dr Noor Hisham berkongsi data menunjukkan angka itu juga menurun berbanding angka 1.00 yang direkodkan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan negeri masih merekodkan Rt di atas satu dengan angka paling tinggi di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 1.36.
“Selain Wilayah Persekutuan Labuan, secara keseluruhan, terdapat 13 negeri yang merekodkan Rt di atas 1.00 iaitu Selangor (1.06); Sabah (1.16); Pulau Pinang (1.02); Johor (1.03); Melaka (1.10); Kuala Lumpur (1.05); Putrajaya (1.03); Negeri Sembilan (1.18); masing-masing 1.02 di Pahang, Perak dan Sarawak, manakala Terengganu (1.00).
“Hanya tiga negeri merekodkan Rt di bawah 1.00 iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berdasarkan unjuran model Susceptible-Exposed-Infectious-Removed (SEIR), Rt di Malaysia boleh meningkat kepada 1.2, manakala jumlah harian kes pula berisiko melonjak kepada 13,000 jika tiada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Namun berdasarkan carta unjuran itu, grafnya mula menunjukkan penurunan dengan 6,241 kes dilaporkan semalam berbanding 7,452 kelmarin.