7 JUN: Sebanyak 70 saman dan tiga kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kereta sapu dalam Operasi Kereta Sapu yang dilaksanakan polis di sekitar Lahad Datu, Sabah sejak 2 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad, berkata tindakan itu dikenakan selepas didapati pemandu kereta sapu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Katanya, operasi itu membabitkan pasukan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu bersama bahagian lain dengan menyasarkan pemandu kereta sapu yang didapati melanggar SOP serta kesalahan trafik lain di daerah berkenaan.
“Operasi ini tertumpu di tiga lokasi yang dikenal pasti dijadikan sebagai tempat utama bagi pemandu kereta sapu beroperasi, iaitu di sekitar Jalan Mawar, Jalan Kastam Lama dan Jalan Pantai Dalam.
“Sepanjang operasi dilaksanakan, sebanyak 70 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta sapu dan tiga kompaun dikeluarkan.
“Sama dan kompaun ini dikeluarkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan No 2) 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini
Rohan berkata, antara kesalahan dikenal pasti, termasuk tidak memakai pelitup muka dan dua individu menaiki satu kenderaan walaupun bukan dari kediaman sama.
“Dalam operasi ini juga, satu tangkapan dibuat membabitkan warga asing yang didapati melanggar PKP.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan No 2) 2021,” katanya.