7 JUN: Polis melanjutkan tempoh reman seorang ahli politik di Sabah yang didakwa mencabul peserta Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan sehingga Rabu ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata siasatan kes ke atas bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu kini, membabitkan dua sehingga tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Katanya, permohonan penyambungan tahanan reman sudah dilakukan pasukan siasatan polis.
“Tempoh pelanjutan ini bagi membantu siasatan berhubung suspek sebelum tindakan susulan, termasuk kemungkinan pendakwaan dilakukan.
“Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya kepada media, hari ini
Pada 3 Jun lalu, ahli politik sebuah parti tempatan yang didakwa mencabul seorang peserta pertandingan itu, ditahan polis.
Lelaki terbabit ditahan di pejabatnya di Asia City di Kota Kinabalu pada jam 1 tengah hari, selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya pada 19 Mei lalu.
Dalam laporan itu, mangsa mendakwa diraba di bahagian badan, termasuk paha, belakang badan, leher dan tangannya serta mangsa turut bertindak menepis perbuatan suspek.