7 JUN: Polis Johor kini sedang menyiasat pelbagai akaun yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sindiket didalangi Nicky Liow Soon Hee atau Geng Nicky yang menjadi buruan pihak berkuasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sedang masih menunggu laporan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa bank lain bagi membantu siasatan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.
Ayob berkata tindakan itu penting dalam proses memperkemas dan melengkapkan kertas siasatan, sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Kita sedang menunggu laporan BNM serta laporan dari bank-bank yang lain serta banyak lagi perkara yang diuruskan. Geng Nicky ini bukan kecil, operasinya cukup besar dan meluas. Ia melibatkan banyak transaksi membabitkan pelbagai akaun peribadi serta akaun syarikat.
“Jadi, proses ini akan memakan sedikit masa untuk diperkemaskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam pada itu Ayob Khan berkata, setakat hari ini, belum ada tangkapan baharu dan sebarang perkembangan terkini mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
9 Mei lalu, Polis Johor mendapat beberapa petunjuk baharu berkaitan kumpulan jenayah terbabit daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini.
Bagaimanapun, Ayob berkata perkembangan itu tidak mendedahkan petunjuk atau sebarang kenyataan lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.
Nicky, 33, adalah pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.