7 JUN: Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pengamal media yang bekerja di lapangan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin kerana mereka sebahagian daripada petugas barisan hadapan dan sentiasa berdepan dengan ancaman jangkitan virus terbabit .
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau bersetuju bahawa pengamal media di lapangan sepatutnya dilihat sebagai frontliners dan pemberian vaksin kepada mereka perlu disegerakan.
Tambahan pula, kata Wan Saiful bilangan wartawan pun tidaklah terlalu ramai, sekitar 6,000 orang sahaja.
“Kerajaan pun telah berjanji untuk memberikan keutamaan kepada wartawan dan seperti yang saya sebut dalam kenyataan terdahulu, ia adalah sikap yang baik. Maka kita perlu usahakan supaya wartawan dapat vaksin segera, dan beri penjelasan yang terang jika ada halangan.
“Kita semua perlu bersabar kerana seluruh dunia menghadapi masalah akses vaksin maka kerajaan sudah pasti terpaksa mencari keseimbangan dalam menangani tuntutan yang datang dari semua pihak,” katanya dalam ketika dihubungi hari ini.
Ketua Penerangan Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Ulya Aqamah Husamudin, juga senada dengan pandangan Wan Saiful iaitu mendesak kerajaan jangan berlengah lagi dan mempercepat proses pemberian vaksin untuk pengamal media.
Menurut Ulya, media adalah sebahagian daripada barisan hadapan dan pemberian vaksin akan mempermudahkan tugas mereka menyalurkan maklumat kepada rakyat.
“Pengamal media juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan beberapa sektor yang lain, petugas media terutamanya jurugambar dan juruvideo terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual dengan niat menabur bakti bagi negara untuk menangani COVID-19 sekali gus mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.