7 MAC: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan tindakan tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah undang-undang.
Beliau berkata, perkara itu adalah berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID Malaysia yang turut menyatakannya bukan kesalahan untuk mana-mana penguatkuasa mengenakan kompaun.
Justeru, katanya, kompaun yang sudah dikeluarkan atas kesalahan berkenaan diharap dan disarankan dibatalkan.
“Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang sudah dikuatkuasakan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, timbul kekeliruan berhubung beberapa perkara mengenai SOP, termasuk penggunaan aplikasi MySejahtera apabila terdapat anggota penguatkuasa yang mengeluarkan kompaun kepada individu yang tidak mengemaskini.
Ismail Sabri berkata, walaupun mengemaskini aplikasi MySejahtera bukan menjadi kesalahan, sebagai warganegara yang mahukan rantaian penularan jangkitan COVID-19 terputus, setiap rakyat perlu berintegriti dan bertanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera.
Jelasnya, MySejahtera dibangunkan kerajaan bagi membantu dalam aspek pengawasan penularan COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi juga lebih penting adalah melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan dan aktiviti kita pada hari terbabit.
“Sebagai rakyat, kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita, tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat diberikan adalah tepat dan benar, termasuk sekiranya mendapat simptom atau mempunyai kaitan dengan mereka sudah dijangkiti COVID-19,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, MySejahtera juga dibangunkan bertujuan memudahkan individu, khususnya untuk memastikan keselamatan sosial bagi kepentingan kesihatan agar kes positif, kontak rapat, kontak kasual dan berkaitan dapat ditangani segera.
“Segala salah faham dan kekeliruan yang timbul sebelum ini dapat ditambah baik dan saya juga mohon pemahaman daripada semua pihak agar kita sama-sama berusaha untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19.
“Kita perlu akui bahawa penguatkuasaan dilaksanakan dan kompaun dikeluarkan adalah bagi memastikan setiap individu patuh kepada arahan atau SOP ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi kesalahan membabitkan syarikat atau kilang beroperasi melebihi masa ditetapkan, tindakan penguatkuasaan perlu dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas dalam tempoh terbabit.
“Kesalahan bukan dilakukan pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan majikan, maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan.
“Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan untuk melaksanakannya di rumah (bekerja dari rumah), maka kompaun adalah kepada majikan,” katanya. -Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN