8 JUN: Jumlah kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 76 kes, sekali gus menunjukkan penurunan bagi empat hari berturut-turut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes sembuh baharu direkodkan adalah sebanyak 6,962 kes mengatasi kes harian, iaitu 5,566 kes.
“Namun, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat hari ini menunjukkan sedikit peningkatan, iaitu 903 kes, berbanding 902 semalam.
“Pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan juga meningkat sedikit dengan 458 orang, berbanding semalam, iaitu 447 orang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, daripada kes baharu dicatatkan hari ini, sebanyak 5,562 membabitkan kes tempatan, manakala 4 kes import.
“Jumlah kes aktif COVID-19 sehingga hari ini pula adalah sebanyak 82,797.
“Kes sembuh baharu pula menjadikan jumlah kumulatifnya adalah sebanyak 541,319,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN