8 JUN: Walaupun tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar kepada ekonomi disebabkan pandemik COVID-19, enam negeri telah mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan.
Negeri-negeri tersebut ialah Pulau Pinang (RM38.6 bilion), Sabah (RM4.5 bilion), Pahang (RM3.5 bilion), Kedah (RM3.0 bilion), Kelantan (RM969.7 juta) dan Perak (RM294.8 juta).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan Malaysia pada tahun 2020 merekodkan RM1,777.2 bilion, penurunan 3.6 peratus berbanding RM1,844.5 pada tahun 2019.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, eksport Malaysia pada 2020 bernilai RM981.0 bilion pada tahun 2020, turun 1.4 peratus berbanding RM995.1 bilion pada tahun 2019.
“Import juga mencatatkan penurunan 6.3 peratus kepada RM796.2 bilion pada 2020 berbanding RM849.4 bilion pada tahun sebelumnya.
“Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah terutamanya oleh Sarawak (-RM15.5 bilion), Selangor (-RM11.3 bilion), Johor (RM5.3 bilion), Sabah (-RM4.2 bilion), W.P. Kuala Lumpur (-RM3.4 bilion), Terengganu (-RM2.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM2.3 bilion), W.P. Labuan (-RM2.1 bilion), Kedah (-RM0.4 bilion) dan Perlis (-RMO.1 bilion),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Uzir memaklumkan nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM28.4 bilion, Pahang (RM3.4 bilion), Perak (RM2.0 bilion), Melaka (RM0.5 bilion) dan Kelantan (RMO.1 bilion).
“Penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah dari Selangor (-RM23.7 bilion), Johor (-RM19.7 bilion), W.P. Kuala Lumpur (-RM10.2 bilion), Melaka (-RM9.7 bilion), Negeri Sembilan (-RM6.1 bilion), Terengganu (-RM1.8 bilion), Perak (-RM1.7 bilion), Sarawak (-RM1.2 bilion). Perlis (-RM0.5 bilion) dan W.P. Labuan (-RMO.2 bilion).
“Sebaliknya, nilai import meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM10.2 bilion, Sabah (RM8.6 bilion), Kedah (RM3.4 bilion), Kelantan (RMO.9 bilion) dan Pahang (RMO.1 bilion),” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata lima negeri mendominasi eksport Malaysia iaitu Pulau Pinang (31.8%), Johor (20.0%), Selangor (18.9%), Sarawak (6.7%) dan Perak (3.2%) manakala eksport bagi lima negeri ini menyumbang sebanyak 80.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Pada 2020, beliau menegaskan, secara keseluruhan perdagangan Malaysia mencatatkan eksport bersih sebanyak RM184.8 bilion, peningkatan sebanyak 26.8 peratus berbanding tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh eksport bersih tinggi terutamanya di Pulau Pinang (RM124.4 bilion), Sarawak (RM47.2 bilion), Johor (RM39.7 bilion) dan Pahang (RM15.1 bilion).
“Eksport bersih yang tinggi dicatatkan di Pulau Pinang disumbangkan oleh barangan elektrik & elektronik. Eksport bersih yang tinggi dicatatkan di Johor disumbangkan oleh barangan elektrik & elektronik dan minyak kelapa sawit & hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit.
“Manakala gas asli cecair (LNG) dan minyak kelapa sawit penyumbang utama eksport bersih di Sarawak. Batang besi dan keluli penyumbang utama di Pahang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH