8 JUN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuatkuasa serta-merta selepas menilai risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang telah menular kepada lebih 41 wilayah di negara Thailand.
JPV menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, ketetapan ini diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri (pengimport, peraih dan penternak) memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand.
“Pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar di negeri dan daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya yang berkongsi kenyataan tersebut menerusi Facebook milik jabatan itu, hari ini.
Dalam pada itu, JPV memaklumkan, walaupun penyakit LSD tidak zoonotik (tidak menjangkiti manusia), namun ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit.
“Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau daripada negara Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia –Thailand.
“Kerjasama pihak berkuasa KASTAM dan MAQIS untuk mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau daripada negara Thailand,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) mengesan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) pada ternakan lembu hidup yang diimport dari Thailand menerusi sempadan negeri ini pada April lalu.
Bagaimanapun, Maqis Kedah dalam satu kenyataan pada 2 Jun lalu memaklumkan, sebanyak 1,434 ekor lembu diimport dari negara jiran itu pada 26 April lalu menjalani tempoh kuarantin seperti ditetapkan sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara.
Menurut kenyataan itu, setakat ini, terdapat dua premis kuarantin yang dipantau oleh Maqis di negeri Kedah dan Kelantan yang menempatkan ternakan lembu dari Thailand dengan tanda-tanda klinikal penyakit LSD.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH