8 JUN: Kapal pengawal pantai China dikesan berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak di kawasan Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika dari Miri, Jumaat lalu.
Kehadiran kapal pihak berkuasa China itu yang dikesan di perairan Sarawak terus mencetuskan kegusaran dalam kalangan nelayan di negeri tersebut.
Tindakan itu dilihat berlaku empat hari selepas 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) terbang di kawasan yang sama memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM).
Sumber memaklumkan, kejadian itu sudah dilaporkan oleh beberapa pemancing tempatan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Miri.
Bagaimanapun, jurucakap Maritim Malaysia Sarawak ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat memberikan ulasan lanjut berhubung perkembangan terkini di Laut China Selatan itu.
“Sebarang ulasan (mengenai kehadiran kapal pengawal pantai China) akan dibuat oleh pihak kementerian yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman mengesahkan perkara itu dan Maritim Malaysia serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerah ke lokasi terbabit bagi mengetatkan kawalan perairan yang turut dikenali sebagai South Luconia Shoals itu.
“Ya, saya boleh sahkan kita menerima laporan berkaitan pengawal pantai China memasuki perairan kita pada 4 Jun.
“Aset APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengawasi keadaan dengan teliti,”katanya.
Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.
Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.
Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).