8 JUN: Sebanyak RM179,426 diluluskan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai peruntukan awal untuk Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Menteri KeTSA, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata dana segera itu disalurkan menerusi Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Katanya, dana itu adalah kesinambungan terhadap bantuan berjumlah RM3.9 juta diberikan kerajaan dan RM500,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program tanggungjawab sosial korporat sebelum ini yang disalurkan secara berperingkat kepada 25 ZPT terjejas bermula Mei 2020.
“Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar pada kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera yang diperoleh daripada 10 ZPT berkenaan.
“Kementerian turut prihatin kepada ZPT yang terjejas berikutan pelaksanaan PKP penuh ini.
“Selain ketiadaan sumber pendapatan akibat tiada kutipan tiket masuk, ZPT juga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi, termasuk menyediakan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Shamsul Anuar berkata, sejak pengumuman PKP pertama pada Mac 2020, KeTSA menyediakan pelbagai inisiatif melalui penyaluran bantuan kepada sektor bawah kawalan kementerian yang terjejas.
Bagi membantu penyewa tanah persekutuan dan penyewa ruang bangunan kerajaan Persekutuan pula, kementerian itu menawarkan pemberian diskaun kepada penyewa sehingga 30 Jun ini dan usaha terbabit akan diteruskan untuk tempoh enam bulan tambahan bermula 1 Julai depan.
Jelasnya, usaha kepada penyewa tanah dan ruang bangunan Persekutuan itu, diharap dapat membantu meringankan beban golongan terbabit disebabkan pelaksanaan PKP 3.0, selain memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan berkenaan.
“Kerajaan melalui KeTSA sentiasa komited dalam membantu sektor bawah kawalan kementerian yang terkesan, termasuk memastikan kebajikan rakyat ditingkatkan dan perlindungan hidupan liar terus terpelihara,” katanya. –Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN