8 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penekanan terhadap keperluan membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) rentas agensi, merangkumi elemen pekerjaan, insurans sosial dan bantuan sosial.
Katanya, PDPS bakal menjadi rujukan tunggal program dan profil perlindungan sosial negara.
Beliau berkata, kewujudan itu juga bertepatan hasratnya yang mahu satu pendekatan baharu lebih berkesan dalam menyediakan liputan perlindungan sosial semakin menyeluruh, terutama terhadap kumpulan rentan, mampu disediakan.
“Rakyat terkesan dengan COVID-19 dan kelompok tidak diliputi mana-mana jaringan keselamatan sosial negara, seperti mereka dalam sektor tidak formal dan persendirian, perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera yang bertepatan dapat diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) secara sidang video.
MySPC yang ditubuhkan pada 2016 dan kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019, kini diaktifkan semula, bertujuan menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu, khususnya menangani kemiskinan.
Keanggotaannya membabitkan 15 kementerian, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohamad Yunus dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri selaku urusetia.
Muhyiddin berkata, mesyuarat itu menumpukan kepada agenda peluasan dan pemantapan program jaringan keselamatan sosial negara.
Jelasnya, agenda itu antaranya melalui cadangan penambahbaikan dan perluasan skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada kelompok tidak diliputi mana-mana jaringan keselamatan sosial.
“Dengan jaringan keselamatan sosial negara diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC, saya yakin lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu serta dilindungi.
“Bantuan sosial diberikan tidak harus terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja sebaliknya, meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan mereka,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN