8 JUN: Kumpulan pelampau Yahudi terpaksa membatalkan perarakan, Flag March pada Isnin di Baitulmaqdis selepas Hamas memberi amaran ia bakal menyemarakkan semula konflik di Gaza.
Perarakan yang dijadualkan minggu ini dibatalkan setelah pemimpin kanan Hamas, Khalil Hayya mengeluarkan kenyataan tegas bahawa perarakan yang disifatkan sebagai tindakan provokatif melampau itu boleh mencetuskan ketegangan baharu.
“Kami memberi amaran keras kepada pelampau Yahudi supaya tidak cuba mencemari pekarangan Masjid al-Aqsa. Kami harap mesej ini jelas supaya perarakan yang dirancang pada Khamis ini tidak mencetuskan semula konflik Israel-Palestin pada 10 Mei lalu,” ujar Hayya.
Bagaimanapun, jurucakap penganjur acara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas gagal mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa rejim Zionis.
Polis Israel dalam satu kenyataan berkata, kelulusan tidak dapat diberikan selepas menilai situasi semasa.
Sebelum ini, penganjur demonstrasi berhaluan kanan menyifatkan perarakan itu sebagai acara untuk menzahirkan kebebasan bersuara.
Pada Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz juga dilaporkan mengarahkan pihak berkuasa melarang acara seumpama itu.
Difahamkan, perarakan di sepanjang kota lama Baitulmaqdis itu dirancang melalui Gerbang Damsyik yang menyaksikan insiden pertempuran ganas tercetus antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa rejim Zionis yang kemudiannya membawa kepada kempen pengeboman ganas dilancarkan tentera Israel ke atas Genting Gaza yang meragut 260 nyawa pada bulan lalu.