8 JUN: Walaupun kes baharu COVID-19 menunjukkan penurunan empat hari berturut-turut, masyarakat perlu terus mengambil langkah pencegahan jangkitan, memandangkan penularan virus terbabit masih kekal pada situasi sangat serius.
Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengamalkan kehidupan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan diri dijangkiti COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik KKM menunjukkan, meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus ke COVID-19 mingguan, jumlah kes aktif terus meningkat, manakala hari ini, jumlah kes aktif yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes.
“Sehingga 6 Jun 2021, kadar penggunaan katil bagi pesakit bukan unit rawatan rapi (ICU) di hospital, menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu daripada 99 peratus kepada 89 peratus, tetapi kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) masih melebihi separuh atau 54 peratus.
“Kadar penggunaan katil COVID-19 di ICU meningkat daripada 98 peratus pada 24 Mei 2021 sehingga 104 peratus pada 6 Jun 2021 dan kadar melebihi 100 peratus ini, amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, hospital di seluruh negara juga kini berdepan peningkatan kes COVID-19 bergejala serius, iaitu kategori 4 dan kategori 5 yang memerlukan bantuan oksigen serta bantuan alat pernafasan, khususnya dalam kalangan golongan rentan, termasuk warga emas dan individu menghidap lain-lain penyakit.
Katanya, bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital bagi menampung kes pandemik itu yang kini berada di peringkat kritikal boleh terus meningkat, sekiranya masyarakat alpa walau sehari.
Beliau berkata, situasi itu tidak boleh diambil ringan, terutama jika ada pihak yang menyebarkan interpretasi tidak benar berhubung situasi semasa COVID-19 ini.
“KKM mengingatkan masyarakat untuk kekal duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu, amalkan norma baharu dan patuhi SOP ditetapkan serta jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau menjadi kontak kepada kes positif.
“Sekiranya dibenarkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), patuhilah segala peraturan dan jangan bercampur dengan ahli keluarga bagi mengelakkan risiko jangkitan, selain dapatkan maklumat berkenaan situasi terkini COVID-19 daripada sumber tepat serta daftarkan diri anda dan keluarga bagi mendapatkan vaksin,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN