8 JUN: Pembayaran untuk semua perkhidmatan kerajaan akan dilaksanakan secara tanpa tunai menjelang 2022 dalam usaha untuk menangani rasuah.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pembayaran tanpa tunai akan membawa kepada keselamatan transaksi yang lebih tinggi, koordinasi lebih baik, selain menambah baik komunikasi inisiatif antirasuah dan lebih memudahkan perkongsian maklumat.
Katanya, kerajaan bekerja tanpa henti untuk memastikan urus tadbir yang baik, penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan berkesan di samping menangani kebocoran, penipuan dan rasuah.
“Setakat ini, kerajaan sudah menyegerakan pendigitalan dalam banyak perkara termasuk memodenkan penyampaian perkhidmatan dan menangani rasuah sekali gus akan mengurangkan titik pertemuan secara langsung antara orang awam dan pegawai kerajaan.
“Beralih kepada kad pengenalan elektronik dan bukti identiti secara biometrik untuk pengenalan orang awam serta mempercepatkan bantuan kerajaan bagi memastikan keterangkuman, akses, ketelusan dan akauntabiliti.
“Setakat ini, kebanyakan bantuan secara terus diberikan berasaskan tanpa tunai, di mana permohonan dan pembayaran untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin (GKP) dilakukan secara elektronik dan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Perakaunan Malaysia (MIA) 2021 bertemakan ‘Mengemudi Masa Depan Yang Mampan dengan Ketangkasan dan Daya Tahan’ secara maya, semalam.
Turut hadir, Presiden MIA, Dr Veerinderjeet Singh dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Nurmazilah Mahzan.
Tengku Zafrul berkata, setakat akhir tahun lalu, 60 peratus jumlah kutipan oleh kerajaan adalah menerusi e-pembayaran.
Persidangan yang dianjurkan MIA selama tiga hari bermula semalam adalah yang pertama dianjurkan secara maya.
Ia dihadiri lebih 2,200 peserta tempatan dan antarabangsa serta lebih 100 penceramah pakar dari seluruh dunia.