9 JUN: Mesej tular yang menguar-uarkan berkenaan Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) bagi tahun 2021 yang tular di media sosial sejak kelmarin adalah palsu.
Perkara itu disahkan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, Zaiton Ismail yang menegaskan bantuan itu hanya ditawarkan pada tahun lalu dan tidak ada pada tahun ini.
“Saya telah menerima banyak pertanyaan mengenai penyebaran maklumat mengenai BKIT bagi tahun ini. Untuk makluman, BKIT hanya diberi pada tahun 2020 dan setakat ini permohonan BKIT tidak dibuka untuk tahun ini.
“Sekiranya kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuka permohonan BKIT akan saya kongsikan kepada semua.
“Justeru, saya mengharapkan agar tiada lagi pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini bagi mengelirukan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp bahawa KPWKM menggalakkan golongan ibu tunggal agar mendaftar bagi permohonan BKIT.
Menurut hantaran itu lagi, daripada sasaran bantuan sebanyak 35,000 penerima, 3,000 Ibu tunggal sahaja yang sudah berdaftar.