9 JUN: Titah perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya semua pemimpin tertinggi parti politik menghadap baginda minggu ini, bukan perkara janggal, sebaliknya termaktub di bawah undang-undang dan membuktikan peranan sebenar insitusi beraja itu.
Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga boleh menunjukkan keupayaan institusi dan baginda sendiri untuk menyampaikan hasrat berhubung keadaan semasa negara, terutama dalam berdepan masalah kesihatan, COVID-19.
“Bagi pandangan saya, titah ini supaya semua pemimpin parti-parti politik memahami mengenai institusi beraja itu supaya mereka berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan negara.
“Oleh kerana institusi beraja itu berada di luar pagar politik dan tidak bercanggah dengan undang-undang, perkara (titah) ini bukannya pelik.
“Ditambah terdapat banyak rungutan di dalam media sosial, contohnya ramai yang mendesak Yang Dipertuan Agong membuat tindakan, jadi saya fikir ini adalah langkah sewajarnya supaya baginda boleh mengetahui keadaan semasa dan mendengar pandangan semua pemimpin parti politik terbabit,” katanya ketika dihubungi Portal PNBBC, hari ini.
Shamrahayu berkata, walau apa isu dibincangkan pada sesi menghadap itu, pemimpin politik terbabit diharap dapat memanfaatkannya dengan menyampaikan perkara yang benar-benar diinginkan masyarakat dan suara hati rakyat kepada Yang Dipertuan Agong.
“Apapun, keserasian patut dibina antara institusi beraja dan pemimpin demokrasi supaya tidak ada salah sangka serta silap faham, tambahan dalam keadaan masa kini yang menyaksikan Jari jemari rakyat jelata mendahului pandangan dibuat pemimpin mereka sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan Agenda Reset Malaysia supaya Yang Dipertuan Agong diberikan cuti rehat selama enam bulan dan tugas baginda dijalankan Timbalannya, Sultan Nazrin Shah kerana disifatkan memiliki keberanian serta ketegasan tinggi dalam mengendalikan keadaan semasa, Shamrahayu menganggapnya sebagai tindakan tidak wajar.
“Cadangan ini tidak wajar kerana pertama, Yang Dipertuan Agong hendaklah menjalankan tanggungjawabnya berasaskan kepada sumpahnya ketika dilantik memegang jawatan itu, jadi wajar atau tidak suatu tindakan diambil baginda, pada saya lebih kepada kebijaksanaan baginda.
“Kedua, kita lihat pengalaman Yang di Pertuan Agong untuk berdepan keadaan negara mengalami pandemik ini bukan mudah kerana pertama kali berlaku, justeru tindakan baginda haruslah berasaskan kepada faktor-faktor difikirkan wajar dan mengikut kebijaksanaannya, malah selagi undang-undang membenarkan baginda berada di situ, tidak wajar mempertikaikannya.
“Institusi Raja-Raja sudah memberikan kepercayaan kepada institusi beraja dan Yang Dipertuan Agong, jadi desakan-desakan seperti merehatkan baginda ekstrem, malah majoriti rakyat masih mempunyai kepercayaan tinggi kepada baginda,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN