9 JUN: Pejabat Ketua Menteri Sarawak, mengesahkan semua presiden komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 14 Jun ini.
Jurucakap Pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata, pertemuan empat pemimpin parti dengan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan secara persidangan video.
“Persidangan video itu akan diadakan di Wisma Bapa Malaysia, pada jam 11 pagi.
“Pejabat Ketua Menteri hari ini dihubungi oleh Istana Negara yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menjemput semua presiden komponen GPS untuk menghadap menerusi persidangan video pada 14 Jun ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pemimpin yang akan menghadiri pertemuan bersama Seri Paduka Baginda ialah Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengerusi GPS; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, pagi tadi.
Muhyiddin dan Anwar adalah antara tujuh pemimpin parti politik termasuk pembangkang yang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, bermula hari ini hingga Jumaat ini.
Difahamkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka hadir ke Istana Negara, petang ini manakala dua lagi esok serta seorang pada Jumaat.
Selain itu, turut difahamkan, Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap Yang di-pertuan Agong esok.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan, Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menerima jemputan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu ini.
Bagaimanapun, agenda majlis menghadap berkenaan tidak diketahui, namun dipercayai mempunyai kaitan dengan keadaan semasa negara terutama isu penularan COVID-19 yang membimbangkan.