9 JUN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mengkritik kerajaan kerana melakukan pengusiran pelarian dan pemohon suaka.
Katanya, ini kerana sebahagian besar rakyat membantah kemasukan golongan itu ke Malaysia.
Beliau berkata, kritikan itu dapat dilihat daripada kenyataan beberapa pemimpin politik dan portal media yang cenderung kepada pembangkang, selepas kerajaan mempertingkatkan usaha membendung kemasukan pelarian melalui kawasan perairan negara.
“Mereka seharusnya buat kajian (pendapat) rakyat, sama ada sokong atau bantah usaha kerajaan ini, khususnya inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperketatkan penguatkuasaan bagi mengekang kehadiran pelarian dan pendatang asing tanpa izin.
“Saya juga hairan dengan kajian dibuat yang mendesak kerajaan memberi perlindungan kepada pelarian yang semakin ramai di negara ini.
“Kononnya (kajian) ini menunjukkan ramai membantah tindakan pihak berkuasa mengusir pelarian,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau mengulas tindakan sebahagian besar pelarian, terutama etnik Rohingya yang cuba memasuki negara ini melalui perairan di utara tanah air, termasuk laporan cubaan memasuki Malaysia minggu lalu.
Hamzah berkata, seramai 179,383 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga semalam.
Jelasnya, jumlah pelarian di negara ini meningkat sejak 2013 yang pada mulanya merekodkan 140,983 orang.
“Susulan itu, KDN akan bekerjasama dengan Kementerian Luar dan UNHCR bagi mencari penyelesaian kebanjiran pelarian di negara ini.
“Saya berpendapat sebahagian besar rakyat membantah kehadiran pelarian yang menjadikan Malaysia destinasi, sekali gus menimbulkan pelbagai masalah sosial.
“Kita harus mencari penyelesaian kerana negara kita adalah negara berdaulat yang mempunyai peruntukan undang-undang, malah KDN memperhalusi perkara ini dan akan mengkaji kesan dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila negara masih menerima kehadiran pelarian,” katanya.