9 JUN: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menyeru semua pengamal media yang belum divaksin untuk tidak membuat sebarang liputan di lapangan, mahupun di tempat awam.
Presiden NUJ, Farah Marshita Abd Patah berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan petugas media yang sehingga kini masih belum divaksin.
“Sehubungan itu, NUJM menyeru kerjasama daripada pihak pengurusan syarikat media swasta mahupun kerajaan dan ketua pengarang, untuk hanya menghantar petugas media yang sudah divaksin bagi membuat liputan lapangan.
“Bagaimanapun, bagi petugas media yang sudah divaksin dan berada di lapangan, diingatkan supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard dan keselamatan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Farah Marshita, sehingga hari ini hanya segelintir kecil petugas media yang sudah menerima notifasi tarikh penerimaan vaksin, manakala sebahagian besar daripada petugas media di seluruh negara masih tertunggu-tunggu.
Justeru, katanya, melihat keadaan politik semasa negara, menjadi kegusaran kepada NUJM apabila ramai petugas media yang sudah mula ‘berkampung’ di lapangan bagi membuat liputan dan mendapatkan perkembangan terkini.
“Tidak mustahil, sekiranya dalam tempoh terdekat ketika membuat liputan, ada antara petugas media yang mungkin terdedah kepada penularan COVID-19 dan menjangkiti rakan-rakan yang lain.
“NUJM sekali lagi menyeru kepada kerajaan supaya mempercepatkan pemberian vaksin kepada petugas media yang dijanjikan kepada kami pada minggu pertama Jun, namun sehingga kini, masih tiada sebarang maklum balas,” katanya.