9 JUN: Jika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan tidak menutup klinik-klinik 1Malaysia, sudah pasti negara mempunyai lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan kadar segera tanpa mengganggu perkhidmatan perubatan.
Penganalisis Politik, Azizi Safar memaklumkan jika klinik itu tidak dibubarkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), sudah pasti tidak akan menggangu perkhidmatan klinik kesihatan yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau turut mempersoalkan jika Guan Eng baru keluar dari ‘gua’ mempersoalkan ketidakcukupkan PPV sedangkan kerajaan telah memaklumkan lebih banyak pusat itu akan diwujudkan dan beroperasi pada bulan ini.
“Baru sehari dua lepas, Perdana Menteri sudah maklumkan lebih banyak PPV akan beroperasi dalam bulan Jun ini. Setakat 3 Jun, sembilan negeri telah mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan, Sabah; Gua Musang dan Pasir Puteh, Kelantan dan daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar Perak.
“Di Pulau Pinang pula, kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di lapan rumah jagaan orang tua setiap hari. Ini pun Lim Guan Eng tak tahu ke…selain PPV oleh KKM, akan ada juga PPV yang dikendalikan oleh pihak swasta, termasuk klinik-klinik swasta dan hospital-hospital swasta. Tidakkah Guan Eng tahu bahawa sebanyak 500 PPV melibatkan GP klinik dan hospital swasta akan mula beroperasi 15 Jun ini.
“Manakala bakinya, 1,000 lagi dijangka beroperasi sebelum hujung Jun. Di Kedah dan Terengganu termasuk Kuala Lumpur sudah ada program membawa vaksin kepada rakyat. Outreach dan Mobile units. Di USM, sudah ada khidmat vaksinasi pandu lalu. Ini adalah beberapa PPV dan metod yang bukan dalam senarai awal di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Guan Eng mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya bertindak segera mewartakan semua klinik kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Setiausaha Agung DAP itu berkata, langkah tersebut juga bagi memastikan vaksinasi tersedia mudah diakses dengan cepat dan mampu dimiliki semua rakyat Malaysia terutama yang tinggal di luar bandar.
Dalam pada itu, Azizi memaklumkan Pharmaniaga juga hari ini telah membuat penghantaran vaksin Sinovac ke klinik-klinik KKM di Kedah dan antara yang akan menerima ialah Klinik Kesihatan Jeniang, Klinik Kesihatan Kupang, Klinik Kesihatan Kuala Ketil, Klinik Kesihatan Kodiang, dan Klinik Kesihatan Kuala Nerang.
“Selain itu, klinik di Kedah lagi yang akan menerima vaksin adalah Klinik Kesihatan Sungai Tiang, Klinik Kesihatan Pokok Sena, Klinik Kesihatan Jalan Putra, Klinik Kesihatan Changlun, Klinik Kesihatan Tunjang, Klinik Kesihatan Kuala Ketil, Klinik Kesihatan Kupang, dan Klinik Kesihatan Jeniang.
“Kelmarin, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan hasrat untuk membeli vaksin sendiri dan akan bergantung sepenuhnya kepada bekalan vaksin oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
“Ini satu endosmen kepada kejayaan dan kemampuan PICK dan JKJAV,” katanya.