9 JUN: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengesahkan Malaysia sudah mencapai sasaran kadar memberikan suntikan vaksin 150,000 sehari.
Malah, menurut infografik dikongsi menerusi akaun Twitter rasmi JKJAV jumlah mereka menerima vaksin COVID-19 semalam ialah seramai 151,309 orang.
Menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter rasmi JKJAV, jumlah itu melibatkan angka bagi individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos iaitu 45,587, manakala pemberian suntikan satu dos ialah 105,722.
Sehingga 7 Jun 2021, seramai 12,743,918 individu sudah mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dengan lebih 2.5 juta orang sudah divaksinasi di 382 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.
Dua negeri yang mencatatkan jumlah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin paling rendah di Malaysia ialah Kelantan dan Sabah.
Sehingga kelmarin hanya 19.89 peratus atau 583,275 rakyat Sabah yang sudah mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, manakala Kelantan pula 37.28 peratus atau 459,196 orang.
Putrajaya menjadi satu-satunya wilayah dan negeri mencatatkan jumlah pendaftaran 100 peratus dengan semua 68,774 penduduknya sudah berbuat demikian diikuti Kuala Lumpur, 70.86 peratus atau 1,049,490 dan Selangor 69.43 peratus atau 3,363,091 orang.
Kuala Lumpur muncul negeri teramai sudah divaksinasi dengan 425,647 orang atau 28.7 peratus, diikuti Selangor seramai 362,081 orang dan Sarawak 249,088 orang.