9 JUN: Pemberian vaksin untuk pekerja sektor logistik penerbangan dan pelabuhan akan dipercepatkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dan beliau memberi jaminan bawaha Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan mempercepatkan vaksinasi untuk golongan terbabit.
Justeru, katanya, usaha giat sedang dilakukan bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada pekerja itu dan nama penerima yang layak sudah diserahkan kepada CITF.
“Senarai nama ini membabitkan pekerja-pekerja dalam industri penerbangan dan pelabuhan di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Airlines Berhad, AirAsia, Malindo Air serta pelabuhan- pelabuhan dan pelaut di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Sehingga 4 Jun 2021, seramai 1,725 atau 19 peratus daripada 9,340 kakitangan yang layak di bawah MAHB dan anak syarikatnya sudah menerima suntikan vaksin, manakala 399 kakitangan didapati tidak layak divaksin ketika ini kerana faktor ditentukan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk ibu hamil, menyusu atau perubatan,” katanya.
Ka Siong berkata, usaha mempercepatkan vaksinasi kepada golongan terbabit disebabkan kementerian berkenaan menyedari bahawa sektor logistik menerima impak besar akibat COVID-19.
Namun, katanya, seluruh pekerja sektor logistik, sama ada dalam industri penerbangan atau pelabuhan terus bekerja keras tanpa mengenal erti penat bagi memastikan pembekalan vaksin untuk rakyat Malaysia berjalan lancar.
Kementerian, jelasnya, amat menghargai peranan dimainkan seluruh pekerja di sektor logistik terbabit, selain turut menyedari keperluan mereka untuk menerima suntikan vaksin secepat mungkin.
“Usaha mempercepatkan pemberian vaksinasi ini juga akan membantu negara dalam persiapan membuka pintu sempadan, selain pemulihan semula ekonomi selepas keadaan kembali selamat,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN