10 JUN: Perdana Menteri, hari ini, mengucapkan tahniah dan syabas susulan kejayaan cemerlang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang mencatatkan keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun lalu, biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran terpaksa mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam situasi pandemiki COVID-19.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau juga mendoakan semua calon SPM 2020 memperoleh keputusan yang cemerlang dan jika ia bukan seperti diharapkan jangan sesekali berputus asa.
Muhyiddin berkata beliau berbangga kerana setiap daripada calon SPM adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.
“Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.
Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan. Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat.
“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.
“Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin. Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan seramai 9,411 atau 2.46 peratus daripada 381,894 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2020 memperolehi keputusan semua A.
Berdasarkan data dikongsikan KPM seramai 78,731 atau 20.62 peratus memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian manakala 146,447 (38.35 peratus) memperoleh keputusan lulus dan 31.81 peratus atau 121,496 calon memperoleh keputusan sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.
Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 21,395 atau 5.60 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 1.16 peratus atau 4,416 calon memperolehi keputusan semua gagal.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan peperiksaan SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan calon bandar dan luar bandar biarpun mereka terpaksa berdepan suasana pembelajaran dan peperiksaan yang berlainan berbanding calon sebelum ini, ekoran penularan wabak COVID-19.