10 JUN: Pencapaian cemerlang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, termasuk prestasi membanggakan di luar bandar, membuktikan usaha gigih Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdPR) pelajar, biarpun dalam situasi COVID-19 yang melanda negara.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pencapaian itu juga pastinya inisiatif berterusan guru, ibu bapa dan pelajar.
“PIBGN mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang dapat menghasilkan pencapaian cemerlang SPM pada tahun ini serta dalam tempoh lima tahun kebelakangan, malah prestasi luar bandar amat menakjubkan.
“Ini tentunya kerja gigih KPM, pihak guru, ibu bapa dan penjaga serta pelajar-pelajar dan amat membanggakan perkara ini dapat dihasilkan walaupun dalam masa pandemik ini,” katanya kepada Portal PN BBC.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas berhubung keputusan SPM 2020 yang diadakan secara maya, hari ini, mengumumkan pencapaian peperiksaan itu menunjukkan peningkatan lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, berbanding 4.86 pada tahun sebelumnya.
Jelasnya, keputusan itu juga menunjukkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.
Mohamad Ali berkata, pencapaian itu adalah disebabkan semua pihak terbabit memberi perhatian dan tumpuan kepada pendidikan, walaupun masih ada halangan, seperti capaian internet serta kekurangan gajet.
Katanya, kegigihan pendidik membimbing juga dapat dilihat menerusi pelbagai kaedah PdPR dijalankan mereka, termasuk secara atas talian, elektronik, bersemuka, modular dan pakej-pakej yang diedarkan kepada pelajar.
Selain itu, Mohamad Ali berkata, pencapaian terbabit turut diperoleh menerusi bersefahaman dan kerjasama erat ibu bapa serta penjaga dalam menyediakan persekitaran dan bahan keperluan, seperti peranti serta modal kewangan.
“Pelajar-pelajar juga memahami keperluan dan kepentingan pendidikan walaupun mereka berdepan dengan halangan-halangan luar biasa, terutama daripada kesan COVID-19.
“Kejayaan ini juga disumbangkan menerusi usaha mereka yang sentiasa memastikan aspek kesihatan kendiri dititikberatkan dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dipatuhi,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN