10 JUN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan kepada peminjam yang hilang pendapatan kerana diberhentikan kerja atau pendapatan terjejas.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata peminjam terbabit boleh perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian di www.ptptn.gov.my/penangguhanpkp3.0 mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini dengan tiada sebarang dokumen sokongan perlu disertakan.
Katanya, penangguhan bayaran balik selama tiga bulan itu bermula pada bulan permohonan diluluskan dan bayaran dua bulan seterusnya boleh dibuat sehingga Oktober.
“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.
“Justeru, peminjam diingatkan untuk mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan keputusan berhubung kelulusan permohonan penangguhan itu sampai kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, semalam mengumumkan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN secara bersasar kepada mereka yang layak selama tiga bulan.
Ahmad Dasuki berkata, PTPTN menyambut baik inisiatif terbabit dan komited memastikan perkara itu dilaksanakan dengan baik bagi memastikan peminjam mendapat manfaat.
Keputusan itu juga, katanya, menunjukkan kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kesukaran ditanggung peminjam PTPTN.
“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu mereka menguruskan kewangan lebih baik dan meringankan beban akibat terkesan COVID-19,” katanya.
Mengenai peminjam yang tidak terkesan pula, katanya, mereka boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran disediakan.
Jelasnya, PTPTN berterima kasih dan menghargai peminjam yang terus komited membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa depan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 setiap Isnin hingga Jumaat daripada jam 9 pagi sehingga 5 petang atau melayari laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my,” katanya.