10 JUN: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini, mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata beliau hari ini mewakili Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara untuk mengadap Al-Sultan Abdullah, sebentar tadi.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata perbincangan berlangsung hampir satu jam berkisar perkembangan isu COVID-19, darurat dan persidangan Parlimen.
“Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun Seri Paduka Baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes COVID-19 yang sedang berlaku.
“PAS adalah sebahagian daripada komponen Kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS juga telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk terus memobilisasi usaha membantu petugas barisan hadapan dalam semua inisiatif di bawah program vaksinasi kebangsaan seperti melancarkan kempen dan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu golongan memerlukan bantuan.
“Mewakili PAS, saya menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap dan mempersembah maklum pendirian parti,” katanya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim menjadi pemimpin politik pertama tiba di pekarangan Istana Negara untuk sesi menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna hitam yang membawanya dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara pada jam 10.20 pagi tadi.
Antara pemimpin parti politik lain dijadualkan menghadap hari ini ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Berikutan itu Dr Mahathir dijangka mengadakan sidang media secara maya mengenai perkara dibangkitkannya ketika mengadap Al-Sultan Abdullah kira-kira jam 4.30 petang ini.
Terdahulu empat pemimpin politik utama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diikuti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, selesai menghadap Al-Sultan Abdullah, semalam.
Manakala, difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 10 pagi esok.