11 JUN: Kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia hari ini adalah tertinggi pernah direkodkan sepanjang pandemik itu melanda negara lebih setahun lalu, iaitu sebanyak 7,749 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pencapaian membanggakan itu juga menyaksikannya mengatasi jumlah kes baharu yang direkodkan hari ini, iaitu 6,849 kes.
“Kes sembuh harian hari ini adalah tertinggi pernah dilaporkan.
“Terima kasih kepada semua barisan hadapan, termasuklah sukarelawan yang memberikan bantuan di pusat pemberian vaksin (PPV).
“Jumlah kes sembuh itu menjadikan kumulatifnya adalah sebanyak 563,779 kes atau 87.2 peratus daripada kes COVID-19 dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 912 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 458 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Kes kematian, katanya, mencatatkan sedikit peningkatan hari ini, iaitu 84 kes, berbanding 73 kes, semalam dan jumlah kumulatif kes kematian adalah 3,768, sehingga kini.
Jelasnya, jumlah kluster baharu yang dikesan KKM hari ini adalah sebanyak 16 kluster.
“Jumlah kluster aktif adalah 755 kluster, manakala jumlah kluster sudah tamat sebanyak 1,683 dan kumulatif kluster (2,438),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN