11 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bahawa bekalan air di 13 kawasan sekitar ibu kota yang terjejas susulan kejadian paip pecah di Jalan Kuari, Kuala Lumpur pada Rabu lepas pulih sepenuhnya pada jam 3 pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya juga merakamkan penghargaaan atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual berkenaan.
“Air Selangor turut memohon kerjasama pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera,” katanya.
Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.
Setakat 7 malam semalam, pemulihan bekalan air di 13 kawasan itu telah mencapai 80 peratus.