Fadillah disahkan positif COVID-19
11 JUN: Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, disahkan positif COVID-19 selepas menerima keputusan ujian saringan awal malam tadi.
Kementerian Kerja Raya, menerusi kenyataan, berkata beliau menjalani ujian saringan itu pada jam 10.15 pagi semalam sebagai rutin dilakukan di Pejabat Menteri Kanan Kerja Raya.
“Sebelum ini, beliau menjalani ujian saringan dari semasa ke semasa dan keputusan adalah negatif, termasuk terkini pada 3 Jun lalu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Fadillah kini berada dalam keadaan stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.
“Beliau akan menjalani kuarantin di rumah disebabkan tiada sebarang gejala seperti nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan berdoa agar Allah mempermudah urusan semua yang terbabit.
“Sepanjang tempoh kuarantin, beliau akan terus memantau dan memastikan urusan kementerian berjalan dengan lancar,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN