11 JUN: Keunikan sebuah kafe di Florida yang dihiasi duit kertas bernilai hampir AS$2 juta (RM8.2 juta) membuatkan kafe itu menjadi lokasi tumpuan pengunjung.
Kafe itu diusahakan oleh McGuire’s Irish Pub, Martin McGuire dan isterinya, Molly sejak 1977.
Pada tahun 1982, kafe itu dipindahkan ke lokasi semasa dan mampu memuatkan 615 orang pelanggan.
Menurut Molly, idea untuk menghiasi ruang kafe mereka dengan duit kertas bernilai AS$1 (RM4.1) muncul selepas dia memperoleh tips yang pertama.
Molly menulis tarikh pada duit kertas tersebut dan melekatkannya pada bahagian dinding kafe.
Usahanya itu mendapat sokongan pelanggan apabila mereka turut melekatkan duit mereka pada bahagian dinding dan siling restoran tersebut.
Sehingga kini terdapa lebih sejuta duit kertas yang bertandatangan tergantung di siling dan dinding hingga mewujudkan suasana yang unik dan istimewa..
“Kami akan kira semua duit yang dilekatkan oleh pelanggan setiap tahun dan jumlah terkumpul sehingga kini adalah hampir AS$2 juta,” katanya.
Selain itu, McGuire memaklumkan kafenya turut menjadi sasaran golongan tidak bertanggungjawab, malah ada pekerjanya juga pernah cuba mencuri duit berkenaan.
Namun, kesemua duit yang dilekatkan pada premis tersebut tidak boleh dibelanjakan sesuka hati disebabkan terdapat tanda tangan dan kesan lubang.