11 JUN: Kes baharu COVID-19 merekodkan pertambahan ketara hari ini apabila sebanyak 6,849 kes dilaporkan, berbanding 5,671 kes semalam.
Selangor kembali menunjukkan peningkatan melebihi 1,000 kes baharu dalam tempoh sehari, iaitu daripada 1,510 kes semalam kepada 2,558 kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kes kumulatif dilaporkan di Malaysia setakat ini ialah 646,411 kes.
“Negeri lain yang menunjukkan peningkatan kes ialah Kuala Lumpur iaitu sebanyak 884 kes, Sarawak (699), Negeri Sembilan (685), Sabah (309), Pulau Pinang (205), Labuan (176), dan Perak (161).
“Manakala negeri yang menunjukkan penurunan ialah Johor (426), Kelantan (248), Melaka (170), Kedah (161), Pahang (89), Terengganu (66) dan Putrajaya (10).
“Perlis menjadi negeri tunggal yang merekodkan kes baharu satu angka, iaitu dua dan menurun berbanding tiga kes, semalam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN