Apa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang adalah lebih baik berbanding apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelumnya pada tahun 1969.
Kita tidak memerlukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) semata-mata ada pihak pembangkang yang tidak bersetuju beliau sebagai Perdana Menteri. Perkara ini berlaku dalam mana-mana kerajaan pun di mana itu adalah tugas pembangkang untuk mengkritik dan menghentam kerajaan sedia ada.
Tidak ada dalam rentetan sejarah yang menunjukkan pihak pembangkang yang bersetuju dengan kepimpinan kerajaan.
Begitu juga sewaktu Mageran dilaksanakan sebagaimana ucapan Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, Menteri Muda Pertahanan di dalam Parlimen pada 2 Mac 1971.
Beliau menyatakan bahawa semasa perlaksanaan Mageran, pihak pembangkang dengan hebatnya mengkritik dan menghentam kerajaan dengan menyatakan kerajaan dalam masa 21 bulan sewaktu itu adalah kerajaan yang betul-betul diktator.
Ini berlaku kerana Mageran hanya disertai oleh wakil kerajaan sewaktu Parlimen digantung selama 21 bulan.
Wakil tersebut ialah Tun Abdul Razak sebagai pengerusi dan ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail (Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri), Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Menteri Penerangan ) , Tunku Osman Mohd. Jewa (Pegawai Turus Angkatan Tentera) (Anak Saudara Tunku), Tan Sri Mohamad Salleh (Ketua Polis Negara), Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengerusi Mageran), Presiden MCA dan Presiden MIC.
Dalam ucapan yang sama Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail juga menyatakan bahawa Mageran dilaksanakan adalah kerana dasar kebebasan bersuara yang telah terbabas dan menimbulkan pelbagai fitnah dan hasutan kepada kerajaan hingga mencetuskan perpecahan perkauman dalam negara.
Di sini kita lihat dengan jelas bahawa Mageran dibuat supaya semua orang mendengar kepada kerajaan 100 peratus, adakah kita bersetuju dengan kaedah ini sekarang?
Kita perlu fahami bahawa usaha kerajaan sekarang sudah hampir sampai ke penghujungnya. Perolehan vaksin telah dilaksanakan sebaik mungkin dan kita akan mencapai imuniti kelompok dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
Kita tidak berhadapan dengan konflik yang memerlukan kita mengawal dan memaksa semua orang untuk tunduk kepada arahan kerajaan. Apa yang diperlukan sekarang adalah penerangan yang jelas berkenaan program vaksinasi dan khidmat sukarelawan untuk membantu mempercepatkan program vaksinasi kebangsaan.
Kita tak perlukan Majlis Rundingan Negara untuk mengugut mana-mana komponen politik untuk menyertai kerajaan, di mana itu bukan fokus utama kita dan keadaannya berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1969.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah lebih baik jika dibanding dengan Mageran.
Semua pihak boleh menyumbang idea dan buah fikiran untuk membantu usaha kerajaan untuk membendung wabak COVID-19, di mana itu yang sepatutnya berlaku akan tetapi berlaku sebaliknya.
Sepatutnya kita berbincang soal membendung wabak, akan tetapi apa yang hangat dibincangkan adalah siapa ada majoriti dan siapakah Perdana Menteri Interim.
Perkara ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan Negara, siapapun yang menjadi Perdana Menteri keadaan sama akan wujud di kalangan pembangkang.
Tambahan pula Perdana Menteri dari kalangan mereka yang hanya mementingkan agenda sendiri dan perjalanan karier politik mereka.
Kita sedar bahawa mereka ini hanya ingin meloloskan diri dari pendakwaan di mahkamah bukan kepentingan rakyat dan Negara.
Saya bersetuju sekiranya kebebasan bersuara ini dikaji semula kerana ia haruslah berlandaskan prinsip moral yang baik bukan seperti sekarang.
Kita tidak boleh sewenangnya membenarkan kebebasan bersuara untuk membiarkan rakyat melanggar undang-undang, menghina institusi beraja dan penguatkuasaan serta mengelirukan rakyat yang lain dengan agenda tersembunyi dan propaganda politik.
Perkara ini akan menyukarkan lagi usaha kerajaan untuk membendung wabak COVID-19, di mana segala usaha kerajaan dipolitikkan demi perjalanan karier politik pihak-pihak tertentu.
Perkara ini harus dititikberatkan oleh kerajaan di mana kita ingin melahirkan anak bangsa yang mempunyai minda dan modal insan kelas pertama bukan rakyat Zaman Batu yang boleh bercakap sesuka hati walaupun perkara itu merupakan fitnah dan menyeleweng.
Akhir kata marilah kita bersama-sama berusaha dan bersepakat membendung wabak COVID-19 kerana itulah keutamaan, jika ada idea dan buah fikiran yang dapat membantu kerajaan salurkan pada medium yang sepatutnya.
Hentikan agenda kepartisan semetara waktu, bila tiba masanya kita turun ke medan peperangan politik, sekarang perang kita adalah berhadapan wabak. – Oleh SHAFIQ HALIM