11 JUN: PAS menafikan dakwaan menjalin kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu, seperti kenyataan tular di media sosial.
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, berkata dakwaan itu adalah tidak benar dan kenyataan terbabit yang tular di beberapa platform media sosial adalah palsu.
“Saya menafikan dakwaan terbabit dan ia sudah mendapat pengesahan parti bahawa maklumat berkenaan adalah palsu,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, dakwaan palsu itu turut disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat.
Kenyataan bertarikh 11 Jun 2021 yang tular itu memaparkan kedua-dua parti menyatakan muafakat politik untuk melantik Hishammuddin mengetuai kepimpinan kerajaan, susulan keadaan COVID-19 yang semakin meruncing di Malaysia dan mahu beliau membantu menyelamatkan negara daripada terus berdepan krisis kesihatan serta ekonomi.
Isi kandungan surat itu turut menyaksikan tandatangan Setiausaha Agung kedua-dua parti, iaitu Takiyuddin sebagai wakil PAS dan Datuk Loretto Padua Jr yang mewakili WARISAN.
Menerusi responnya hari ini, Loretto turut menafikan kerjasama itu dan menyifatkan perkara terbabit sebagai fitnah, malah mengatakan tandatangannya dipalsukan di dalam kandungan kenyataan berkenaan.
Media semalam melaporkan, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mendakwa, pihaknya menerima laporan mengenai khabar angin berhubung cubaan beberapa Ahli Parlimen untuk mendapatkan akuan bersumpah (SD)bagi meraih jawatan dalam kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menyifatkan, cubaan beberapa individu yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka itu sebagai perkara jelek. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN