11 JUN: Polis Kajang sudah menahan pemilik akaun Instagram dikenali sebagai ‘safieyillias94’ yang disyaki melakukan komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak di bawah umur, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata penahanan dilakukan semalam dan pihaknya akan membuat permohonan reman suspek hari ini.
“Beri masa kepada pihak kami untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya menerusi kenyataan kepada media.
Semalam, polis mengesan pemilik akaun Instagram dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ yang disyaki melakukan perbuatan yang boleh ditakrifkan sebagai komunikasi lucah dan amang seksual.
Mohd Zaid berkata, sebelumnya, polis menerima laporan daripada seorang pensyarah di sebuah universiti awam yang melihat pautan Instagram secara langsung atas penama kedua-dua pemilik itu yang berpakaian menjolok mata.
Katanya, kedua-dua mereka juga menunjukkan aksi penggunaan rokok elektronik (vape) kepada kanak-kanak terbabit.
Justeru, jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.