11 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang sepatutnya diadakan pada 23 hingga 27 Ogos depan.
Bagaimanapun, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya akan melaksanakan kaedah pentaksiran baharu yang setara dan seimbang sebagai ganti peperiksaan PSRA.
Katanya, kaedah ini sesuai dengan syarat dan kriteria ditetapkan bagi pemilihan pelajar untuk ke Tingkatan 1 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) sesi kemasukan tahun 2022.
“Keputusan pembatalan peperiksaan PSRA dibuat, berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara dan trend semasa penularan, peningkatan jangkitan dan jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor yang meningkat tinggi.
“Situasi membimbangkan dan tidak menentu, memerlukan usaha serta inisiatif JAIS bagi memastikan kesan dari fakta COVID-19 di Selangor tidak menjadi sebab yang boleh menggugat keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan pelajar, guru, petugas peperiksaan, ibu bapa seterusnya masyarakat umum.
“Pada masa sama, keputusan ini akan turut membantu usaha berterusan semua pihak melandaikan lekuk penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, JAIS juga berpandangan bahawa pembelajaran formal yang tidak dapat dijalankan seperti biasa akan memberi impak yang besar terhadap kemampuan guru dan pelajar dalam menghadapi persediaan peperiksaan PSRA mengikut format dan protokol peperiksaan seperti lazimnya.
“Terima kasih kepada guru Sekolah Rendah Agama Negeri Selangor yang mengambil pelbagai inisiatif dan kaedah yang bersesuaian dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Terima kasih juga kepada ibu bapa kerana bersama-sama JAIS dalam membantu pembelajaran anak di rumah,” katanya.