11 JUN: Polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes kebakaran stor logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata polis juga sedang menyiasat punca insiden kebakaran terbabit berlaku.
Azmi berkata hasil siasatan awal, stor itu digunakan untuk menyimpan barangan lama seperti kerusi dan meja yang dalam proses untuk dilupuskan.
“Stor itu juga ada menempatkan barang penyelenggaraan tanaman seperti baja. Kebakaran itu tidak membabitkan barang kes.
“Anggota bomba yang hadir ke lokasi mengambil masa singkat untuk memadam kebakaran berkenaan.
“Ketika ini, polis dalam proses untuk mendapatkan laporan analisa daripada pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran di stor itu turut mengakibatkan dua motosikal dan sebuah bot gentian kaca musnah.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.57 malam.
Berikutan itu, seramai 15 anggota menaiki tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi kejadian.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, pihaknya menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau aktiviti perjudian dalam talian membabitkan pertandingan bola sepak Euro 2020 yang akan bermula esok.
“Sudah tentu kita pantau aktiviti berkenaan sebab itu ada pasukan khas ditubuhkan,” katanya.
Mengulas tempoh sekatan pergerakan penuh, Azmi berkata, tahap pematuhan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur meningkat dari semasa ke semasa.
“Warga Kuala Lumpur mula akur dan memahami dengan langkah yang dibuat kerajaan sebagai usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.
“Hanya mereka yang mempunyai hal kecemasan dan surat kebenaran daripada pihak berwajib keluar dari kediaman masing-masing, manakala yang lain kekal duduk di rumah,” katanya.