11 JUN: Polis tahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan RM9.3 juta selepas menyerbu tiga rumah dan sebuah pangsapuri sekitar ibu negara, Cheras serta Kajang, Sabtu lalu.
Dalam serbuan pada jam 2.15 petang itu pasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 31 tahun di sebuah rumah dekat Cheras.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata hasil soal siasat suspek membawa kepada penemuan dadah di tiga lokasi lain pada hari sama dan Ahad lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan polis merampas dadah jenis heroin seberat 100 kilogram (kg), ketamin (9.8 kg) dan 59,000 pil Erimin 5 (16 kg).
“Kita sita tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire serta dua kereta jenis Honda City dan Proton Iswara dengan nilai keseluruhan RM512,900, selain wang tunai berjumlah RM400 bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati empat premis terbabit dijadikan tempat penyimpanan dadah dan disewa dengan anggaran bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan sejak tiga bulan lalu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah. Bagaimanapun, semakan lanjut menunjukkan mereka mempunyai rekod berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata polis percaya penahanan suspek terbabit membolehkan pihak berkuasa menumpaskan kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang didalangi rakyat tempatan.
“Polis menjangkakan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 169,535 pengguna bahan terlarang itu.
“Semua suspek dalam tahanan reman berakhir hari ini dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.