11 JUN: Polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan penghantar makanan dan seorang pelanggan susulan isu yang menyentuh sensitiviti agama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata semua suspek yang ditahan adalah lelaki dan berusia antara 19 hingga 40 tahun.
“Pada jam 2.30 petang, satu laporan polis diterima daripada pengadu, seorang lelaki berusia 19 tahun selepas tidak berpuas hati terhadap seorang pelanggan menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama ketika memesan makanan.
“Pengadu membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan terbabit dan menularkannya di dalam aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, malam ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, tindakan itu menimbulkan kemarahan kumpulan penghantar makanan terbabit dan mereka pergi ke rumah pelanggan berkenaan.
Katanya, pelanggan berusia 29 tahun itu kemudian dipukul kumpulan terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan pihak berkuasa.
Susulan itu, jelasnya, polis menahan pelanggan dan lima penghantar makanan berkenaan yang disyaki terbabit dalam kejadian terbabit.
“Polis kini mengesan suspek lain yang masih bebas serta kes ini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang isu atau membuat provokasi yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa sehingga menggugat ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.
“Sekali lagi masyarakat diingatkan tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Hari ini, tular beberapa rakaman video dan gambar memaparkan sekumpulan penghantar makanan memukul seorang pelanggan.
Pelanggan terbabit didakwa sengaja mencetuskan provokasi apabila menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama ketika memesan makanan menerusi perkhidmatan dalam talian. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN