11 JUN: Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) menerima dengan terbuka keputusan laporan insiden transit aliran ringan (LRT) yang membabitkan pertembungan dua tren pada 24 Mei lalu.
Menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PRASARANA, Datin Norlia Noah, justeru pihaknya kini mengambil beberapa langkah segera berkaitan sistem keselamatan, operasi, tenaga kerja dan penyelenggaraan rel, sejajar lima cadangan penambahbaikan jangka pendek dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, langkah itu diambil bagi memantapkan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan LRT yang beroperasi secara automatik tanpa pemandu.
“Langkah-langkah ini adalah tambahan kepada piawaian antarabangsa dan SOP sedia ada.
“Kami sedang menyemak semula secara menyeluruh struktur, proses dan pematuhan keselamatan, kawalan akses ke laluan, protokol untuk komunikasi serta sebagainya supaya kesemua cadangan jangka pendek dapat dilaksanakan.
“SOP juga diperketatkan dengan serta-merta bagi menangani sebarang gangguan komunikasi antara ‘Operational Control Centre’ (OCC) dan tren-tren yang dipandu secara manual,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Norlia berkata, dua ‘hostler’ kini ditetapkan bagi segala pemanduan tren manual bagi jajaran di bawah terowong untuk LRT Laluan Kelana Jaya, antara stesen Pasar Seni dan Damai.
Jelasnya, Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan hostler diwajibkan untuk memastikan arah pergerakan tren yang dipandu adalah betul, tanpa sebarang kesangsian dan keraguan.
PRASARANA juga katanya lagi menambah zon perlindungan kepada tren-tren yang terputus hubungan bagi memastikan pengangkutan itu berhenti pada jarak lebih jauh, selain pergerakan tren secara manual dihadkan dengan kelajuan maksimum pada 20 kilometer sejam.
“Buletin keselamatan dikeluarkan secara kerap dan berkala berserta penerangan semula mengenai aspek keselamatan serta SOP kepada semua tenaga kerja PRASARANA.
“Latihan tindakan kecemasan mini juga dipergiatkan untuk dijalankan setiap Ahad malam dengan penekanan kepada senario menyelamat tren yang terputus komunikasi dan pemanduan tren manual, bertujuan memantapkan lagi keupayaan staf serta sistem digunakan, terutama merangkumi kawasan sukar diakses seperti terowong bawah tanah dan jejambat,” katanya.
Selain itu, Norlia berkata, PRASARANA kini turut memberikan fokus utama bagi menwarkan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada penumpang yang terbabit dalam insiden terbabit.
“PRASARANA turut menyediakan bantuan kewangan bagi menampung kos perubatan, rawatan susulan dan perbelanjaan lain yang berkaitan, selain khidmat kaunseling.
“Janji temu untuk perkhidmatan ini boleh dibuat menerusi talian krisis dan akan disediakan selama diperlukan.
“Sehingga hari ini, seramai 73 orang tampil untuk menerima bantuan segera wang ihsan,” katanya.